Pendidikan merupakan elemen utama
bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari
segi ekonomi, politik,
dan sosial.
Pendidikan juga sangat penting kerana ia dapat mencetuskan perubahan dalam
masyarakat. Keupayaan intelektual setiap masyarakat bagi sesebuah negara dapat
mempengaruhi pembangunan sesebuah negara.
Sistem persekolahan
bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata
malah ia merupakan saluran untuk menyampaikan wadah perjuangan negara yang
sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum untuk
mencapai perpaduan.
Di Malaysia,
pendidikan sering menjadi agenda utama kerajaan sebelum dan selepas
merdeka. Pelbagai program telah dirangka dan dilakukan oleh kerajaan bagi
melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan seterusnya diharap dapat
memajukan negara setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Pendidikan juga
dapat menyeimbangkan sosio-ekonomi di antara kaum dan kumpulan etnik di mana ia dapat dilihat melalui
peluang-peluang pekerjaan, pendapatan, dan pegangan ekuiti (Robiah Sidin,
1994). Apabila keadaan ini tercapai, kestabilan ekonomi, politik, dan sosial akan
berkembang maju.
Pada zaman penjajahan British, punca kaum Melayu mundur dan
miskin adalah disebabkan mereka tidak diberi peluang yang sama untuk mendapat
pendidikan. Ini menjadi penyebab utama perpaduan yang erat di kalangan
masyarakat majmuk sukar untuk dicapai. Hal ini mempunyai kaitan yang
rapat dengan dasar dan sistem pelaksanaan pendidikan yang berbeza antara
kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu ketika itu.
Sebelum kedatangan British di Tanah Melayu, sistem pendidikan orang Melayu
adalah berlandaskan kepada pelajaran agama Islam yang berteraskan kitab
Al-Quran. Surau dan masjid menjadi tempat untuk menuntut ilmu dengan
mengkaji ayat-ayat daripada kitab Al-Quran. Pelajaran yang diperolehi
pada ketika itu ialah melalui kaedah menghafal ayat-ayat Al-Quran,
menghafal doa-doa dan
mempelajari perkara berkaitan agama Islam dengan merujuk kepada guru agama dan imam.
Pada masa itu juga
sekolah-sekolah pondok dan madrasah mula berkembang sebagai tempat untuk
mendapatkan ilmu. Menurut Wilkinson, murid di pondok-pondok mula belajar
perkataan-perkatan Arab dan selepas sudah menguasainya, mereka akan terus
mempelajari dengan cara menghafal abjad arab supaya menjadi sebagai panduan
membaca doa dan teks Arab (Mok Soon Sang, 2000).
Walau bagaimanapun, kedatangan
penjajah asing ke Tanah Melayu sejak penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, telah
merubah landskap sistem pendidikan di Tanah Melayu. Selepas Portugis
menjajah Melaka, agama Kristian telah diajar untuk orang Portugis dan penduduk
Melaka yang beragama Kristian. Apabila Belanda mengambilalih Kerajaan
Melaka daripada Portugis, mereka juga turut mengaitkan soal pelajaran agama
Kristian.
Apabila British mengambil Pulau Pinang, dan Singapura daripada
raja-raja Melayu, serta daripada Belanda dan seterusnya campur tangan di
negeri-negeri Tanah Melayu, mereka mula memperkenalkan empat jenis sistem
pendidikan iaitu sekolah vernakular Melayu, vernakular Cina, vernakular India
dan sekolah Inggeris.
Tujuan pihak Inggeris menyediakan
pendidikan kepada orang Melayu khasnya dalam pembinaan sekolah adalah bertujuan
untuk memenuhi selera politik penjajahan mereka sahaja. Objektif mereka adalah
untuk membina pengaruh dan politik British (Inggeris) tanpa melihat keperluan
masyarakat tempatan yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat tani.
Matlamat utama mereka adalah
sekadar memberi pendidikan kepada orang Melayu untuk melengkapkan tenaga
manusia di peringkat rendah, iaitu di peringkat buruh. Tegasnya sekadar untuk
menjadi petani yang lebih baik daripada orang tua mereka dan dapat hidup
gembira dalam masyarakat kampung. British mengharapkan dengan pendidikan yang
begitu terhad, orang Melayu tidak akan dapat menentang penjajahan British
dengan berkesan.
Dengan itu British akan dapat menjalankan
pentadbirannya dengan senang dan memerah kekayaan tanah air kita. Golongan ini
berpendapat tujuan utama mereka adalah sekadar menghapuskan buta huruf pada
tahap yang minimum sahaja (Cheeseman,
1848). Kenyataan in memang munasabah oleh sebab dengan hanya
pencapaian setakat darjah empat, anak-anak Melayu sudah dapat membaca, membuat
kiraan yang mudah dan seterusnya dapat digunakan di dalam urusan seharian
supaya tidak tertipu oleh pekedai- pekedai.
Sekolah Inggeris mempunyai ciri yang berbeza daripada sekolah-sekolah
vernakular yang lain. Murid-murid yang belajar di sekolah Inggeris
terdiri daripada berbagai-bagai kaum, kecuali Malay College Kuala Kangsar yang
hanya dikhaskan untuk kanak-kanak Melayu. Selain itu bahasa pengantar
yang digunakan dalam sekolah Inggeris ialah bahasa Inggeris dan merupakan sesuatu yang asing bagi
murid-murid tempatan kecuali murid-murid Eropah.
Seterusnya, sekolah Inggeris
hanya didirikan di bandar-bandar manakala yuran sekolah yang dikenakan agak
tinggi. Lazimnya, sekolah-sekolah Inggeris mempunyai kemudahan yang lebih
bermutu berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular kerana sekolah-sekolah
tersebut menerima sokongan dan bantuan kewangan daripada pihak gereja, orang
perseorangan atau pun daripada pemerintah Inggeris.
Pada peringkat
awal, tidak terdapat sukatan yang seragam bagi sekolah-sekolah Inggeris.
Sukatan yang seragam hanya wujud selepas adanya peperiksaan bagi
memperoleh Biasiswa Queen (1885) dan Sijil Cambridge (1891). Sekolah Inggeris dibahagikan
kepada sekolah rendah dan menengah. Kurikulumnya pula bercorak Kurikulum
ber grammar
School of Great Britain dengan
tujuan mengeluarkan pegawai - pegawai tadbir rendah bagi memenuhi keperluan
kuasa mereka.
Mata pelajaran utama yang diajar ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Ilmu Alam,
Matematik Asas, Ilmu Kesihatan dan Latihan Jasmani. Kelas-kelas sains
hanya terdapat di sekolah menengah yang besar di kawasan bandar. Sukatan pelajaran
sekolah Inggeris di Tanah melayu adalah berasaskan kepada sekolah menengah
diBritain. Justeru itu murid-murid sekolah Inggeris turut mempelajari
Ilmu Alam dan Sejarah Britain.
Sejarah penubuhan sekolah Inggeris bermula lebih awal daripada penubuhan
sekolah vernakular yang lain. Sekolah Inggeris bermula pada tahun 1548
apabila Sekolah Roman Katholik di Melaka ditubuhkan oleh paderi-paderi
Portugis. Pada tahun 1815, Persatuan Mubaligh London telah mendirikan sebuah
sekolah Inggeris di Singapura. Manakala sekolah Inggeris yang terulung di
Pulau Pinang ialah PenangFree School yang
didirikan atas inisiatif Rev. R.S. Hutchings, Ketua Paderi Negeri-negeri
Selat. Pada 6 Februari 1816, Hutchings mengumumkan rancangan dankebaikan mengenai
penubuhan Penang Free School di hadapan masyarakat umum.
Kebanyakan sekolah-sekolah
Inggeris di Sabah ditubuhkan oleh mubaligh- mubaligh Kristian. Pada tahun
1883, sebuah sekolah rendah (aliran Inggeris) telah ditubuhkan
di Sandakan oleh Persatuan Mubaligh Katolik. Seterusnya pada
tahun 1887, sebuah lagi sekolah rendah Inggeris ditubuhkan di Inobong,
kira-kira 16 kilometer dari Jesselton.
Sekolah ini juga dikelolakan oleh
Persatuan Mubaligh Katolik. Pada tahun 1891, 2 buah lagi sekolah telah
dibuka di Sandakan, sebuah daripadanya dikelolakan oleh Persatuan Mubaligh
Protestan, manakala sebuah lagi ialah Sekolah Convent yang ditubuhkan khas
untuk kanak-kanak perempuan.
Pada awal kurun ke 20, Borneo Utara telah
mempunyai 7 buah sekolah rendah yang diurus dan ditadbir oleh mubaligh-mubaligh
Kristian. Untuk mengawal aktiviti sekolah-sekolah tersebut, sebuah
Jabatan Pelajaran didirikan oleh British Chartered Company pada tahun
1909. Sehingga tahun 1911, Borneo Utara sudah mempunyai 13 buah sekolah
rendah mubaligh.
Perkembangan sekolah Inggeris
di Sarawak bermula hampir sama dengan tempoh sistem pendidikan di
Borneo Utara dan turut ditubuhkan oleh mubaligh-mubaligh Kristian. Antara
sekolah pertama yang dibina ialah Sekolah St. Joseph di Kuching pada tahun 1883
oleh Paderi Dunn dan Paderi Gossens. (Wong Hoy Kee dan Ee Tiang Hong,
1975).
Mubaligh Katolik juga
turut membina sebuah sekolah di Kanowit pada tahun 1883. Kemudian pada
tahun 1905, sebuah lagi sekolah Inggeris ditubuhkan di tepi Sungai Merah oleh
Paderi James M. Hoover yang berkhidmat di bawah Persatuan Mubaligh Methodist
dari Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment