Disediakan Oleh Siti Nazihah Binti Musa (07DAT14F1021)
Sistem
pendidikan merupakan asas penting bagi membangunkan masayarakat dan negara ke
arah yang lebih baik. Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat
majmuk di mana setiap dasar yang dilaksanakan perlu selari dengan keperluan
masyarakat. Dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan shaja bertujuan untuk
memberi pelajaran di sekolah semata-mata tetapi sebagai alat untuk
merealisasikan perpaduan negara. Pada peringkat permulaan, kerajaan British
telah memperkenalkan Laporan Barnes pada 1950 sebelum negara ini ingin mencapai
kemerdekaan. Tujuannya ialah supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri
dengan perpaduan kaum yang berlaku. Tambahan pula, tentangan kuat komunis pada
masa itu menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh
dengan komunis sekali gus menyebabkan huru-hara. Laporan Barnes mencadangkan
bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah
serta bahasa Inggeris pada peringkat sekolah menengah dan peringkat yang lebih
tinggi. Cadangan ini diharapkan dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum
serta merapatkan hubungan mereka.
Masyarakat Cina menentang cadangan ini
kerana dikatakan menggugat bahasa ibunda mereka. Masyarakat Cina mencadangkan
Laporan Fenn-Wu supaya sekolah vernakular Cina dikekalkan walaupun mereka
bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan.
Ordinan Pelajaran 1952 kemudiannya diperkenalkan dengan mengambil kira
kedua-dua laporan di atas. Walau bagaimanapun, ordinan ini tak dapat dijalankan
kerana tentangan masyarakat Cina dan India, kekurangan kewangan & ancaman
komunis.Selepas itu, kerajaan yang dipelopori penduduk Tanah Melayu, Parti
Perikatan telah memperkenalkan Laporan Razak 1956 dengan mengemukakan sistem
persekolahan yang sama dan penyeragaman kurikulum yang bercorak kebangsaan.
Penyata ini bertujuan menyuburkan semangat perpaduan kaum.Kemudian, Laporan
Rahman Talib diperkenalkan yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan ia menjadi Akta Pelajaran 1961. Jawatankuasa Kabinet
telah mengkaji keberkesanan sistem pendidikan serta mempertingkatkan kualitinya
dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) & Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Jika kita lihat pada sistem pendidikan
kini, kerajaan telah melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi
pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk
perpaduan kaum dan integrasi nasional. Sebagai intihan, dasar pendidikan yang
kerajaan jalankan menitikberatkan dasar dalam membentuk perpaduan. Sebagaimana
yang dinyatakan sebelum ini dan kajian sejarah yang diperoleh, dasar pendidikan
membentuk perpaduan kaum.
Antara
cara sistem pendidikan membentuk perpaduan Negara ialah melalui sistem
persekolahan yang sama bagi semua. Pada
asasnya Laporan Razak mencadangkan penubuhan sekolah-sekolah umum yang
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantarnya dan sekolah-sekolah
jenis umum menggunakan bahasa pengantar Cina, Tamil dan Inggeris. Kepentingan
bahasa Melayu sebagai bahasa untuk perpaduan jelas dinyatakan. Laporan ini
telah menjadi rujukan sebagai dasar pendidikan kerajaan sehingga kini dan
bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat sekolah.
Selain
itu, bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Cara paling penting
untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah melalui
penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa
menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa
harmoni antara kaum di negara ini.
Di
samping itu, kurikulum yang sama. Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan
yang terkandung di dalamnya segala ilmu pengetahuan serta kemahiran,
nilai-nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan yang telah
menjadi pilihan masyarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya. Peranan
kurikulum dalam pendidikan adalah untuk membina perkembangan pelajar yang
lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Dalam konteks negara
Malaysia, kurikulum juga berperanan untuk melahirkan rakyat yang mendukung
cita-cita negara dalam mewujudkan perpaduan yang berpandukan Rukun Negara di
samping menghasilkan tenaga rakyat yang terlatih untuk keperluan Negara iaitu modal
insan.
Seterusnya,
sukatan pelajaran yang seragam. Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya
yang disyorkan oleh Penyata Razak adalah dianggap sebagai salah satu asas
sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara. Mata pelajaran
Sejarah memainkan peranan penting ke arah matlamat pembangunan. Melalui pelajaran
Sejarah diharapkan dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat
menghormati terutama dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan adat
resam. Sukatan pelajaran yang seragam membolehkan pandangan dunia setiap kaum
di Malaysia hampir sama dan tidak mewujudkan perselisihan dalam persefahaman.
Akhir
sekali, peperiksaan yang seragam. Rancangan kerajaan untuk menyeragamkan
kurikulum di sekolah-sekolah telah diperkukuhkan lagi dengan mewujudkan satu
sistem peperiksaan yang seragam. Dengan adanya sukatan pelajaran dan
peperiksaan yang seragam, pelajaran para Pelajar tidaklah terganggu apabila
terpaksa berpindah sekolah. Langkah ini boleh menolong proses menyatupadukan
pelajar berbilang kaum di samping mewujudkan keperibadian yang sama. Jika kita
lihat sekarang, dasar pendidikan yang dijalankan kerajaan kini menampakkan
hasilnya. Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan menjadi alat membentuk
perpaduan kaum. Belajar dan kajilah sejarah untuk mendapatkan manfaat berguna
dan meningkatkan kualiti hidup kita. Kita sepatutnya mencontohi Dr. Mahathir
Mohamad yang rajin membaca dan mengkaji bahan sejarah serta berjaya menaikkan
nama Malaysia di persada dunia dengan kekuatan pembacaannya sehingga beliau
mampu mencetuskan idea Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment